PADANG RENGAS – Seramai 56,00 orang telah menerima manfaat daripada program UMNO Bantu Rakyat sehingga kini selepas ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Mei lalu.
Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata semua yang dibantu itu terdiri daripada golongan memerlukan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan melibatkan peruntukan RM3.4 juta.
“Kita telah memberi bantuan kepada UMNO Bahagian yang akan diselaraskan supaya ia sampai kepada penerima yang layak.
“Selepas ini kita akan turun lagi terutama di kawasan luar bandar yang akan ditentukan kemudian bagi memenuhi hasrat perdana menteri supaya kita turun ke akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program UMNO Bantu Rakyat di Dewan Millenium di sini hari ini yang dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Zainun Mat Noor.
Pada majlis itu, seramai 628 orang menerima bantuan membabitkan pembukaan akaun Tabung Haji, akaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), anak yatim, ibu tunggal dan miskin di Parlimen Padang Rengas.
Shamsul Anuar yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata melalui program tersebut, pihaknya dapat mengumpul pelbagai isu yang ditimbulkan rakyat terutama pelaksanaan projek pembangunan.
“Ada penduduk yang tinggal jauh dan susah untuk ke pejabat mengadu masalah mereka. Maka mungkin kita boleh buat pejabat bergerak,” katanya sambil menambah tiap permasalah akan dibawa untuk perhatian kerajaan.
Katanya penjelajahan akan diteruskan ke Sabah esok yang melibatkan empat kawasan. – BERNAMA