KUALA LUMPUR – Persatuan Automobil Malaysia (AAM) akan memulakan siasatan ke atas kemalangan maut membabitkan bekas juara kelas perdana Kejuaraan Cubprix Malaysia sewaktu sesi ujian masa CP150 di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, Jumaat lepas.
Pengerusi AAM, Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha berkata siasatan akan bermula dalam tempoh beberapa hari lagi sebaik menerima semua dokumen yang berkaitan.
Pada masa sama, Tunku Mudzaffar berkata AAM turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan Allahyarham yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Pusingan 3 kejuaaran itu.
Allahyarham yang mewakili pasukan ONEXOX TKKR Racing, terlibat dalam kemalangan di selekoh satu kira-kira pukul 3.50 petang sebelum marshal dan paramedik memberikan rawatan segera selepas bendera merah dikibarkan pada pukul 3.52 petang untuk menghentikan sesi itu.
Mangsa kemudian dibawa menaiki ambulan ke unit trauma untuk menerima rawatan segera sebelum dibawa ke hospital dengan mesin sokongan hayat dan pasukan perubatan penuh. Namun beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 4.50 petang.
Allahyarham memulakan karier dalam perlumbaan Cub Prix pada 2004 dan bergelar juara kelas perdana sebanyak dua kali pada 2005 dan 2011. – BERNAMA