PENGALAMAN bergambar bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan Permaisurinya, Tuanku Zara Salim menjadi kenangan paling manis buat peminat cilik dari Singapura ini.
Lebih menarik perhatian netizen apabila reaksi dan gelagat kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10 tahun melambai-lambai tangannya ke arah Sultan sebaik melihat kehadiran baginda di Hotel Syeun di Ipoh.
Sultan Nazrin kemudiannya mendekati kanak-kanak itu, menyapanya dan tidak keberatan untuk mengabadikan kenangan bersama.
Kejadian tersebut dapat dilihat menerusi perkongsian video yang dimuat naik pengguna Facebook, Maggie Ong, apabila dia berjaya merakam saat-saat itu yang mungkin tidak dapat dirasai semua orang.
Menerusi kapsyen video tersebut, Maggie menjelaskan, kanak-kanak dari Singapura itu merupakan seorang model dan menginap di hotel tersebut ketika berkunjung ke Perak untuk satu acara.
Video berkenaan telah menerima lebih 365,000 tontonan sejak dimuat naik 13 Mei lalu.
Netizen berbangga dengan kerendahan hati Sultan Nazrin, dan berpendapat ia sudah tentunya memberi kenangan manis buat kanak-kanak itu. -MYNEWSHUB.CC