KUALA TERENGGANU – Taktik nelayan asing menggunakan bot ‘klon’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Maritim Timur menahan sebuah bot dengan enam nelayan warga Vietnam di perairan negara, Khamis lepas.
Timbalan Pengarah Operasinya, Kapten Maritim, V. Pannir Selvan berkata enam nelayan berkenaan berusia antara 24 dan 42 tahun itu ditahan oleh anggota bot peronda, KM Pekan, ketika leka melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak 67 batu nautika dari Kuala Kemaman pada pukul 12.43 tengah hari,
“Bot tersebut menggunakan nombor pendaftaran JHF 2918 yang disyaki bot klon dan pemeriksaan ke atas bot terdapat seorang tekong bersama lima awak-awak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan menerusi Jabatan Perikanan juga mengesahkan nombor pendaftaran yang digunakan pada bot tersebut adalah palsu dan ia menggunakan pukat hanyut.
Bagaimanapun, katanya, tiada hasil tangkapan ditemui semasa diperiksa.
Katanya, kesemua nelayan berkenaan ditahan untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963. – BERNAMA