KUALA LUMPUR – Bahrain, pintu masuk ke Teluk, mempelawa pelabur Malaysia untuk membuka perniagaan di negara itu dan menikmati persekitaran mesra perniagaan yang ditawarkan.
Pengarah Urusan Bahrain Economic Development Board (EDB) Dr Simon Galpin berkata negara itu menawarkan peluang bekalan terutamanya dalam sektor pembuatan kerana Bahrain ketika ini banyak melabur dalam pembangunan prasarana.
“Kami banyak melabur dalam prasarana fizikal, dengan projek bernilai kira-kira US$32 bilion sedang dilaksanakan, terdiri daripada menaik taraf loji penapis minyak, meluaskan kilang peleburan aluminium kami bagi menjadikannya kilang pelebur tapak tunggal terbesar di dunia dan juga gabungan pembangunan lain seperti daya tarikan pelancong dan pengembangan lapangan terbang.
“Apa maknanya ini kepada syarikat Malaysia ialah, peluang bekalan dan sub-kontraktor. Mereka boleh menjadi penyedia perkhidmatan.
“Mereka boleh memperoleh peluang perniagaan daripada semua pelaburan ini dan projek fizikal,” katanya kepada pemberita Malaysia yang menyertai lawatan media ke Bahrain EDB bermula 22 Mei.
Galpin berkata selain prasarana fizikal, Bahrain juga melabur dalam prasarana seperti merangka undang-undang dan peraturan baharu yang akan memastikan negara itu menjadi lebih mesra perniagaan.
“Sebahagian daripada undang-undang ini adalah untuk memudahkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang. Sebagai contoh, untuk menubuhkan syarikat di sini, anda tidak memerlukan rakan kongsi tempatan dan anda boleh memegang 100 peratus ekuiti dalam syarikat tempatan,” katanya.
Galpin berkata misi EDB bukan hanya untuk meningkatkan pelaburan langsung asing ke negara itu tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Bahrain.
“Pada dasarnya, ia adalah untuk mewujudkan peluang pekerjaan di Bahrain, tetapi, untuk berbuat demikian kami perlu menarik syarikat baharu, kepakaran baharu, produk dan perkhidmatan baharu untuk menjadikan Bahrain lebih kompetitif.
“Jika anda membuka syarikat di sini dan mengambil pekerja tempatan, organisasi sekutu kami, Tamkeen, akan memberikan bantuan dalam menyelesaikan kos gaji,” katanya sambil menambah Tamkeen bukan hanya mengsubsidikan peratusan tertentu gaji pekerja tempatan tetapi juga kos menghantar pekerja bagi menjalani latihan, sekiranya perlu.
Menurut laman web Tamkeen, usahawan boleh mendapat sokongan kewangan apabila mengupah pekerja tempatan, melatih mereka, dan/atau menaikkan gaji mereka.
Lulusan ijazah mendapat subsidi gaji selama tiga tahun yang terdiri antara 30 dan 70 peratus daripada gaji setahun sehingga BD500 (1BD = RM11.36).
Galpin juga berkata Bahrain bukan sahaja perintis serantau dalam pelbagai bidang termasuk dagangan, eksplorasi minyak, kewangan dan pendidikan, tetapi juga terbuka menerima orang luar terutamanya pelabur.
“Peranan kami adalah untuk menggalakkan syarikat Malaysia membuka operasi di sini, untuk mengembangkan perniagaan mereka dan menggunakan Bahrain untuk berkembang ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk.
“Kami kecil, tetapi kadang-kadang sesuatu yang kecil itu adalah cantik. Sebuah syarikat bersaiz sederhana boleh mewujudkan impak di sini dan kami mempunyai akses terbaik ke ekonomi terbesar,” katanya sambil menambah kos menjalankan perniagaan di sini 30 hingga 40 peratus lebih murah berbanding Dubai.
Galpin berkata tiada modal minimum diperlukan untuk menubuhkan syarikat di Malaysia dan juga tiada sekatan lokasi untuk syarikat itu beroperasi.
“Anda tidak semestinya beroperasi di zon ekonomi khas atau taman perindustrian khas, anda boleh membuka di mana-mana yang anda suka di sini.
“Kelebihan untuk tidak mengehadkan pelabur asing ke zon-zon adalah, anda pada asasnya adalah sebuah syarikat Bahrain.
“Anda boleh jual produk anda di mana-mana di Bahrain dan GCC, serta, di Timur Tengah hingga Afrika Utara,” katanya sambil menambah Bahrain memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan 40 negara termasuk Amerika Syarikat. – BERNAMA