SEORANG bayi perempuan yang berusia 11 bulan rentung selepas rumah pekerja yang didiami keluarga mereka terbakar di Kampung Tangkarason, Beluran, Sabah, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, ibu bapa mangsa, Jiman Alimuddin, 25 dan Adittri Rahman, 24, pula dilaporkan melecur dan kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Pitas.
Menurut seorang sumber, kemalangan dipercayai akibat penggunaan lilin dan pelita memandangkan kawasan tempat tinggal itu sudah terputus bekalan elektrik sejak tiga hari lalu.
“Ketika kejadian, mangsa lelaki berada di rumah rakannya manakala isteri dan bayi mereka berada di rumah.
“Ketika kebakaran berlaku, mangsa sempat pulang ke rumah untuk menyelamatkan isterinya namun dipercayai tertinggal bayi mereka di buaian berikutan keadaan api sudah terlalu marak,” katanya.
Dalam pada itu, pihak bomba memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubungan insiden itu kira-kira jam 8.45 pagi, semalam.
Difahamkan, pihak bomba melalui jarak sejauh 215 kilometer untuk tiba ke lokasi berkenaan.
Mayat, Ainur dikeluarkan kira-kira jam 2 petang, semalam. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: HMetro