BANGKOK – Seorang bekas peninju ditahan polis selepas menumbuk anak tirinya yang berusia dua tahun hingga mati di sebuah rumah di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand pada Sabtu lalu.
Akhbar tempatan, Bangkok Post melaporkan, Jiran Pansuan, 24, ditahan di daerah Bang Khen pada malam Rabu lalu susulan kematian anak tirinya, Rapheepat Salae yang pada awalnya dilaporkan lemas dalam bilik air.
Jurucakap polis berkata, ketika disoal siasat, Jiran memberitahu anak tirinya itu terlalu nakal.
“Gara-gara berang, dia bertindak menumbuk kanak-kanak itu di perut dan kepala hingga mangsa pengsan.
“Dia kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke sebuah hospital dan memberitahu doktor bahawa mangsa lemas,” katanya.
Bagaimanapun, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.
“Doktor yang curiga dengan kematian kanak-kanak itu kemudian membuat laporan polis sebelum pihak berkuasa meminta bedah siasat dijalankan.
“Laporan bedah siasat mendedahkan mangsa mengalami kecederaan pada pankreas dan pendarahan pada otak,” katanya.
Media Thailand melaporkan, sebelum suspek ditahan, ibu mangsa, Thidarat Somboon dan majikannya, Thanaphum Pholprasert dipanggil memberi keterangan kerana disyaki membantu suspek melarikan diri.
Difahamkan, pada hari kejadian, mangsa terjatuh di bilik air dan menangis dengan kuat hinga menimbulkan kemarahan suspek yang baru pulang dari keluar bersama rakan-rakannya.
Suspek dikatakan menumbuk perut mangsa tiga kali hingga menyebabkan mangsa pengsan sebelum dibawa ke hospital.
Susulan kejadian itu, suspek kesal dengan tindakannya. – MYNEWSHUB.CC
* Video di bawah sekadar hiasan: