KANGAR – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man memberi jaminan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan serta akan mengambil kira pandangan pelbagai golongan sebagai asas dalam Belanjawan Perlis 2018.
Beliau berkata dalam konteks pembuat keputusan, input atau cadangan daripada setiap peringkat masyarakat sangat membantu dalam merangka dasar-dasar kerajaan negeri yang lebih berkesan selain mampu meningkatkan taraf perkhidmatan kepada rakyat ke tahap lebih baik.
“Semua yang dirancang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah mengikut acuan menuju Perlis yang bertaraf bandaraya menjelang 2030.
“Kerajaan negeri tidak akan mengetepikan suara rakyat dan semua aspek yang melibatkan kepentingan masyarakat kerana kami mahu rakyat menikmati kemajuan seiring pembangunan yang dilakukan ,” katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Belanjawan 2018 Negeri Perlis Bersama Menteri Besar di Dewan Warisan di sini, hari ini.
Azlan berkata apa yang direncanakan itu bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa era kerajaan tahu yang terbaik sudah tiada lagi.
“Jika tidak mengambil kira faktor berkenaan sebelum menggubal dasar belanjawan negeri, sudah pasti kita tidak akan mencapai hasrat menjadi negeri maju dan bandaraya 2030 seiring dengan apa yang rakyat perlukan,” katanya.
Terdahulu, dalam sesi dialog bersama pelbagai peringkat kepimpinan yang antaranya melibatkan ketua-ketua jabatan, para penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik, Azlan berkata cadangan menaik taraf sektor perkhidmatan di negeri ini turut menjadi agenda utama.
Dari segi pelancongan, katanya pelbagai cadangan diminta bagi mewujudkan produk pelancongan yang lebih berimpak dalam menarik kedatangan pengunjung ke Perlis.
“Contohnya di Kuala Perlis, kita bakal wujudkan hotel di sana. Jadi orang yang menjadikan Kuala Perlis sebagai transit untuk ke Langkawi mempunyai banyak pilihan untuk bermalam di mana-mana hotel yang disediakan di sana, sementara Gua Kelam dan kawasan Batu Pahat juga dalam perancangan untuk dinaik taraf,” katanya
Sementara itu, Azlan mengambil perhatian akan perlunya penglibatan rakyat di dalam sistem ekonomi digital untuk melonjak perniagaan mereka ke peringkat global, sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap bantuan kerajaan.
“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, rakyat boleh memulakan perniagaan digital dalam skala yang kecil dengan memasarkan barangan dan perkhidmatan melalui dalam talian.
“Kita tak perlu mulakan secara besar-besaran seperti Jack Ma (pengasas Alibaba.com) tetapi kita gunakan sepenuhnya peluang yang wujud dalam media sosial seperti di Facebook, Instagram dan orang muda mesti rebut peluang ini,” katanya. – BERNAMA