APA makna nyanyuk? Jom rujuk kamus Dewan. Nah! maknanya, orang tua yang berkelakuan seperti kanak-kanak. Ternyata, nyanyuk ini hanya tertumpu kepada orang yang sudah tua. Kami anak muda tak termasuk dalam golongan orang yang nyanyuk. Sebabnya, kami tak tua lagi dan kami tak berperangai seperti kanak-kanak. Hahaha.. anak muda tak nyanyuk.
Benarkah Melayu sudah nyanyuk? Rasanya macam benar. Contohnya seorang pegawai yang sudah 24 tahun berkhidmat. Gaji bulanan hanyalah empat angka sahaja. Tapi, macam mana dalam almari di rumahnya ada ratusan ribu wang tunai. Bila pengawai penyiasat tanya, dia jawab, “Entah. Saya pun tak tahu. Itu bukan duit saya.” Ini memang sah nyanyuk yang nyata. Ada pangkat, ada kuasa, tapi nyanyuk. Fikiran tak matang. Perangai macam budak-budak. Melayu jugak yang malu.
Benarkah Melayu sudah nyanyuk? Ada benarnya kenyataan ini. Contohnya, seorang peniaga. Bila pemborong naikkan harga, dia pun naikkan harga. Bila pemborong turunkan harga, dia tetap kekalkan harga yang sama sewaktu pemborong naikkan harga. Ini ternyata sah, peniaga nyanyuk wang. Tak fikir kesan jangka panjang. Akibatnya, orang kata peniaga Melayu jual harga mahal. Melayu juga yang rugi.
Benarkah Melayu sudah nyanyuk? Ramai yang kata ya. Contohnya kisah seorang yang lagi 4 tahun nak pencen. Hari-hari pikir macam mana nak jadi boss dan nak kekal jadi boss sampai pencen. Kerja semua orang bawah yang buat. Bila dah dapat surat pengesahan kekal jadi boss sampai pencen, langsung prestasi khidmat menurun. Tidak lagi bersemangat nak tingkatkan lagi kualiti perkhidmatan. Lupa akan kuasa yang ada. Ini memang nyanyuk namanya. Nyanyuk malas kerja lebih. Dah tua, tapi otak fikir macam budak-budak. Kesannya, Melayu juga di anggap sebagai kacang lupakan kulit.
Benarkah Melayu sudah nyanyuk? Sekilas pandang, macam benar. Contohnya seorang yang bergelar ustaz. Dia lebih malu kalau tak bersembahyang di masjid. Sebab dia malu kalau manusia kata dia ustaz yang tak pernah ke masjid. Tapi dia tak malu pada Allah kerana dia tak tahu berdakwah, bergaul dan mengajak orang-orang yang tak pernah ke masjid. Dia ustaz yang popular di kalangan orang yang sudah beriman. Ini namanya nyanyuk populariti. Tapi tak pernah guna ilmu Allah untuk membangunkan ummah dan menyelesaikan masalah ummah. Walau berstatus ustaz, tapi otak fikir macam budak-budak. Melayu jugak yang terpalit buruknya.
Benarkah Melayu sudah nyanyuk? Mungkin betul. Contohnya, tak nak mengaku bila sendiri buat salah. Bila kena pecat dengan boss, hati tak boleh terima kenyataan. Sebab ada ego yang tak mahu mengakui kesilapan. Untuk tutup malu, sanggup hasut kawan-kawan lain untuk lawan boss. Ini nyanyuk ego namanya. Sebiji perangai budak-budak. Melayu juga yang dapat nama buruk.
Benarkah Melayu sudah nyanyuk? Kalau diikutkan kronologinya, memang nyanyuk. Contohnya, 20 tahun yang lalu, sangat akrab. Macam abang adik. Bak merpati dua sejoli. Tak pernah berpisah. Semuanya baik belaka. Tapi hari ini, bertelagah macam perang dunia. Semuanya salah. Semuanya tak betul. Ini sah nyanyuk talak namanya. Bergaduh macam budak-budak. Macam tiada penyelesaian. Orang yang melihat mereka bertelagah pun nyanyuk. Sebab dari kalangan yang melihat, tiada seorang pun yang muncul sebagai pendamai. Melayu jugak yang hina.
Kami anak muda berpendapat, nyanyuk ini hanya berlaku kepada segelintir masyarakat Melayu. Mungkin, kurang dari 10 peratus yang bersifat nyanyuk. Tapi, kita kena terima hakikat, walau segelintir yang nyanyuk, kesannya, dan buruknya, kepada umat Melayu sekelian. Malu kita dibuatnya.
Lebih memalukan, apabila tiada siapa yang berani bangkit, menegur sifat nyanyuk yang semakin melampau ini. Malah, kita membiarkan pelakon yang nyanyuk ini terus menjadi artis popular. Akhirnya, tindakan si nyanyuk ini, berjaya pula mempengaruhi pemikiran kita yang sihat ini.
Wahai orang tua yang berstatus nyanyuk. Tak malukah anda? Sedar tak yang anda ini nyanyuk yang nyata? Kalau anda marahkan kami anak muda, kami tetap akur dan ikut nasihat. Kerana kami tidak mahu di gelar sebagai anak muda yang durhaka kepada bangsanya.
Tapi, bila kami anak muda sindir anda nyanyuk, janganlah terasa hati. Sebab, kami adalah anak muda yang amat sayang kepada bangsa Melayu ini. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu di bakar. Janganlah kerana ego dan kepentingan diri, martabat bangsa Melayu itu tercalar luka. Luka yang pasti akan meninggalkan parut. Dan parut ini pula, akan kekal lama, mencatat memori hitam.
Wahai orang tua yang berstatus nyanyuk. Ketahuilah, sesungguhnya kami sudah muak. Muak dengan segala yang negatif. Muak dengan perpecahan. Muak dengan segala sengketa. Kini, kami bersemangat. Amat bersemangat untuk melaungkan hal yang positif. Hal kebaikan. Hal yang memberi manfaat kepada seluruh alam jagat ini.
Ayuh! majoriti umat Melayu yang lain. Yang sudah lama senyap. Senyap tidak mahu ambil kisah. Tidak mahu ambil berat. Anda kini tidak lagi keseorangan. Kita semakin hari semakin ramai. Kerana, semakin ramai yang inginkan kedamaian, kemakmuran dan kesatuan umat Melayu yang hebat. Ayuh! Kita satukan umat Melayu.
#laskarmalaya