TAHUN 1987 ketika Pasar Seni (CM) KL mula dibuka – ratusan anak muda yang berbakat dalam bidang seni muncul dan berkumpul mencari tapak dan arah memulakan langkah seni masing-masing.
Majoriti pelukis, sebab CM menyediakan banyak ruang perniagaan yang formal untuk pelukis jalanan. Bagi pemuzik jalanan (Busker), penulis, fotografi, pelakon dan pengarah teater pula, persekitaran CM digunakan untuk bertemu dan berbincang.
Malah, penyair boleh membaca sajak di pedestrial CM dan grup teater pula dibenarkan berlatih di atas bumbung bangunan itu.
Banyak seniman memulakan kerjaya di sini. Pelukis Aris Aziz, Aziz Lanun dan Yusof Gajah bermula di CM. Kumpulan Kopratasa, penyair Ladin Nuawi, Pyanhabib dan pelakon Kamarul Hj. Yusuf juga memulakan langkah di CM.
Dalam keramaian itu muncul Lepat. Anak Penang yang mencuba nasib menjadi pelukis yang penyanyi. Cuma pada era itu, muzik blues dan raggea sedang malap kerana industri disemarakkan dengan muzik rock dan pop balada.
SIAPA LEPAT?
Dia lelaki Penang paling kontroversi. Dia The Angry Young Men Made In Penang. Dia menjadi sensasi kerana kes penceraiannya dengan muallaf Inggeris jadi kontroversi. Semuanya kerana isu perebutan anak tunggal mereka – Sunni.
Artikel ini tidak mengenai isu sensasi tersebut. Itu hal lain. Lepat cintakan muzik dan anak Penang ini juga dahagakan kejayaan. Dia mencuba penuh semangat menjadi pelukis. Lebih bersemangat lagi sebagai penyanyi dan komposer.
Perkahwinan mengheretnya ke London mengikuti isterinya. Bertahun-tahun Lepat menghilang. Kemudian kembali semula ke KL dan Penang dengan isteri dan anaknya Sunni.
Kehidpuannya up and down; hinggalah dia bercerai dan kes perebutan Sunni jadi isu kontroversi.
Lepat kemudian jatuh cinta lagi. Dia berkahwin dengan gadis Jerman lalu berhijrah ke Bremen. Di sana dia menyepi. Hinggalah video di YouTube tular dengan cerita “Anak Jerman Nyanyi Lagu Melayu”. Itu anak Lepat.
Lepat kembali ke tanahair pada 2015. Kali ini bukan sebagai perantau yang pulang dengan misi muzik dan nyanyian. Dia kembali dengan buku bestseller “Terima Kasih Si Babi Hutan”. 15 ribu salinan bukunya terjual sepanjang tujuh hari Pesta Buku Antarabangsa KL di PWTC.
Buku kisah hidupnya punya peminat dan mendapat sambutan hangat. Satu magis untuk Lepat pada usia lewat empat puluhan. Buku pertamanya itu diulang cetak hingga 50 ribu naskhah. Lepat jadi fenomena.
Lepat ceria dan kelakar. Lidah Penang yang pekat dan imej rambutnya menjadikan dirinya unik dan dianggap cute. Sejak itu, dunia buku di KL menyenaraikan nama Lepat sebagai “Jenama Unik Yang Diburu Pembaca”.
Tahun ini, pada 28 Mei lalu Lepat kembali lagi ke KL untuk melancarkan lagi buku baharunya. Namun buku pertama masih dicetak dan dikejar pembaca yang mahukan bahan bacaan yang hot dengan kisah hidupnya yang up and down di KL sampai ke London dan Bremen.
Lepat juga menghasilkan album. Kali ini dengan rakan-rakan jalanannya di Bremen, Jerman. Dia mencapai cita-cita meraikan album rakaman muzik genre blues dan raggae. Masih OK sekali pun terhasil di perantauan. Tiga dekad seretan kisah hidupnya yang warna-warni, menjadikan dirinya punya Unique Selling Point yang mampu mencipta trending tersendiri.
Tetapi dia tetap Lepat. Ramah dan humble. Masih mengingati kawan jalanan dan masih menitiskan airmata ketika berpeluk di pentas utama PWTC ketika pelancaran bukunya Mei lalu. Dia tetap Lepat yang dulu; sempoi tapi sangat cekal dan penuh cita-cita.
Selamat Maju Jaya Lepat! Balik jangan lupa call gua…