GENAP seminggu presiden baharu Korea Selatan Moon Jae-in dilantik bagi menggantikan presiden sebelum ini, Park Geun-hye yang dipecat kerana rasuah.
Namun begitu, bukan presiden baharu yang menjadi tumpuan masyarakat seluruh dunia lebih-lebih lagi buat penduduk tempatan, sebaliknya kelibat seorang pengawal peribadi presiden itu yang sangat kacak dan berbadan sasa menarik perhatian banyak pihak.
Sosok tubuhnya yang kekar seperti bintang filem Korea dan wajahnya yang tampan pantas meraih perhatian para gadis Korea yang ‘cair’ dengan renungan tajam Choi Young-jae.
Gambar-gambar jejaka berusia 36 tahun itu terus menjadi viral bila mana namanya menjadi sebutan ramai di kalangan netizen.
Susulan namanya menjadi tular, pejabat presiden mengeluarkan satu kenyataan menyatakan asal-usul Choi yang sebelum ini merupakan seorang bekas pegawai tentera yang berkhidmat untuk melindungi negara mereka daripada ancaman musuh Korea Utara.
Pejabat presiden juga menulis satu mesej berbaur lucu berbunyi, sangatlah ‘malang’ buat wanita yang mendambakan Choi kerana dia dilaporkan sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan. – MYNEWSHUB.CC