SIRI Kembara Ziarah Bubur Lambuk TV AlHijrah diteruskan bagi tahun kedua dengan pelancaran rasmi kempennya hari ini.
Kempen kali ini ditaja Giant Malaysia dan akan berada di 10 lokasi pasaraya tersebut di seluruh Lembah Kelang.
“Ini tradisi meraikan Ramadan. Satu ibadah sempena Ramadan dan menjenamakan Islam sebagai agama yang mensyumulkan konsep ummah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar.
Pelancaran penuh simbolik itu diadakan di Giant Setapak pada Khamis pagi. Turut meraikan majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Giant, Pierre Olivier Deplank.
Selain pelancaran, pengunjung Giant Setapak turut menerima edaran lebih 2 ribu bungkus bubur lambuk.
TV AlHijrah mula melancarkan Kempen Bubur Lambuk sejak Ramadan tahun lalu dengan lebih 60 ribu pek edaran di seluruh negara.
“Kami melihat tradisi bubur lambuk sebagai unik. Juadah ini sinonim dengan bulan Ramadan. Lebih indah, melalui konsep trak makanan, kami menjenamakan hidangan lazat ini sebagai simbol keharmonian Ramadan,” kata Izelan.
Bagi peminat bubur lambuk TV AlHijrah, sila kunjungi lokasi Giant yang tertera dalam senarai poster tersiar. – MYNEWSHUB.CC