SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui mati tergantung di dapur rumahnya di Felda Cahaya Baru, Masai, Pasir Gudang, Johor petang semalam.
Mayat mangsa ditemui ibu saudaranya dan apabila polis sampai di tempat kejadian, mayat sudah diturunkan jiran kira-kira pukul 4.25 petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abdul Aziz berkata, ketika kejadian, kakak mangsa keluar bekerja, manakala ibunya ke kedai.
Menurutnya, mangsa yang tinggal bersama ibu saudara mendakwa dia mahu mandi, namun wanita itu terkejut apabila menemui mangsa tergantung di ruang dapur.
“Mangsa yang belajar di Sekolah Kebangsaan Cahaya Baru Masai itu dikatakan mengalami kemurungan sejak bapanya meninggal dunia tiga tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
Jenazah mangsa yang dijadikan anak angkat keluarga berkenaan sejak dilahirkan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Baru, Masai kira-kira pukul 12.30 tengah hari Khamis. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan..