KUALA NERUS – Bulan Ramadan dilihat mampu menjadi pencetus peningkatan ekonomi golongan muda terutama Bumiputera dengan menceburi perniagaan di bazar-bazar Ramadan di seluruh negara.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia Global (MGCC) Datuk Seri Dr Alex Ong berkata beberapa tinjauan yang dilakukan bazar Ramadan di seluruh negara memperlihatkan golongan usahawan majoriti adalah golongan muda yang sudah lama berjinak-jinak dalam perniagaan dan menunggu peluang untuk berniaga di bulan Ramadan ini.
“MGCC merasa bangga apabila orang muda sudah tidak malu dan segan melibatkan diri dalam bidang perniagaan, tidak hanya menunggu kerja makan gaji semata-mata,” katanya melalui satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Alex mahu pihak berkaitan terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi galakan kepada golongan ini dengan membuka lebih banyak ruang-ruang perniagaan untuk mereka sebagai membakar semangat untuk menceburi bidang perniagaan.
“Saya juga harap PBT dapat memberi sedikit kelonggaran atau budi bicara dalam permohonan kepada golongan itu memulakan perniagaan mereka terutama di bulan Ramadan ini.
Mereka juga ingin mencari rezeki dan berilah peluang untuk mereka mencari sedikit rezeki di bulan yang mulia ini,” katanya.
Beliau juga menasihatkan peniaga agar mematuhi undang-undang kecil PBT agar tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan berniagalah dengan cara yang betul dengan penuh etika.
Sementara itu beliau juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berjimat cermat ketika berbelanja dan memilih gerai-gerai atau warung yang bersih ketika berbuka puasa bagi mengelak sebarang kemudaratan berlaku kepada mereka. – BERNAMA