KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia digalakkan menceburi bidang keusahawanan kerana ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kerajaan mahu Malaysia terus menjadi negara maju, terutama dari segi ekonomi dan sosial.
“Dalam mencapai matlamat itu, kita inginkan masyarakat yang serba boleh atau pun ‘all-rounder’,” kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Aplikasi Njoi Now, di sini hari ini.
Teks ucapan perdana menteri dibacakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Najib berkata golongan belia merupakan pengguna terbesar digital, kerana mereka merupakan generasi yang memberi keutamaan kepada informasi yang mudah didapati menerusi peranti digital masing-masing.
Menurut perdana menteri, statistik menunjukkan langganan menerusi gajet telah mencatatkan peningkatan kepada 44.5 juta di seluruh Malaysia dan ia disokong oleh penembusan penggunaan telefon pintar yang tinggi sehingga mencecah angka 16.4 juta pada tahun lepas.
Perkembangan ini serta penyambungan perkhidmatan jalur lebar dan Internet yang stabil, membolehkan pengguna mendapat maklumat terkini serta hiburan serta merta di hujung jari mereka, kata Najib.
Beliau turut menyarankan golongan belia memanfaatkan ekonomi digital yang sedang giat di mempromosikan oleh kerajaan seperti pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital baru-baru ini.
Selain itu, Najib berkata bidang penyiaran juga dapat memainkan peranan penting sebagai ejen yang membentuk pemikiran penonton.
“Dengan adanya program penyiaran berbentuk keusahawanan digital, mereka yang berminat akan mendapat panduan serta tip untuk mengendalikan perniagaan serta mengetahui selok-belok berniaga secara dalam talian.
“Program ini turut mempunyai kandungan yang membolehkan peniaga berkongsi pengalaman. Ini pasti akan membantu mereka yang baru mula berniaga mengelak melakukan kesalahan yang pernah dilakukan usahawan terdahulu selain terus dibimbing sehingga mendapat pulangan yang lebih besar,” katanya.
Majlis pelancaran Aplikasi Njoi Now anjuran Astro, itu meliputi program dalam pelbagai bahasa dan isu, dengan kandungan termasuk berita, hiburan, sukan dan pendidikan.
Aplikasi itu bermatlamat menyumbang ke arah peningkatan kadar peratusan rakyat Malaysia yang memiliki akses kepada kandungan digital, sekali gus meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya celik digital. – BERNAMA