KUALA LUMPUR – Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengakui perlu mengubah taktik permainan seandainya ingin meraih gelaran di Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland pada 21-27 Ogos ini.
Chong Wei berkata ia perlu dilakukan selepas melihat seteru utamanya, Lin Dan yang tampil berbeza berbanding ketika Sukan Olimpik Rio tahun lalu, untuk menewaskannya dalam dua pertemuan terakhir mereka di Terbuka Malaysia dan Kejohanan Asia, baru-baru ini.
“Saya akui prestasi dalam dua aksi menentang Lin Dan bukan yang terbaik, saya sudah berbincang dengan jurulatih tentang strategi baru selepas kita menilai dua perlawanan itu. Kita boleh nampak Lin Dan menggunakan strategi baru,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu yang memburu peluang meraih gelaran utama pertamanya, menjelaskan pencabarnya bukan sekadar Lin Dan tetapi juga juara bertahan, Chen Long yang meraih tiket wild card serta dua pemain muda China yang lain, Shi Yuqi dan Tian Houwei.
Chong Wei kecundang dua kali di final Kejohanan Dunia di tangan Chen Long iaitu 2014 dan 2015 dan sebelum itu tewas di perlawanan akhir menentang Lin Dan pada 2011 dan 2013.
Namun pingat perak edisi 2014 ditarik balik oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif doping.
BWF memberi tiket wild card kepada Chen Long selepas dia terlepas tiket kelayakan automatik berdasarkan ranking dunia pada 27 April – iaitu tarikh akhir menentukan jumlah pemain yang layak beraksi pada Kejohanan Dunia kali ini. Ia berdasarkan status Chen Long sebagai juara dunai dan juara Olimpik.
“Kalau mahu menang Kejohanan Dunia, saya perlu bermain dengan semua pemain, tiada jalan mudah. Saya juga terkejut Chen Long boleh dapat wild card dan pemain dari China yang layak pula tiga orang. Pesaing negara lain juga kuat.
“Saya perlu terima cabaran ini, seperti yang saya katakan lebih baik untuk saya fokus persiapan diri sendiri,” katanya.
Bagi jurulatihnya Hendrawan pula, selain strategi dan taktik baharu, paling penting bagi pemain seperti Chong Wei adalah mengembalikan semangat mahu menang dalam setiap kejohanan yang disertainya terutamanya Kejohanan Dunia itu nanti.
Mengenai Chen Long yang meraih tiket wild card, beliau berkata anak buahnya itu perlu berfikiran positif dan menggandakan persiapan berbanding sebelum ini.
“Selalu saya cakap dengan Chong Wei, kemahuan untuk menang perlu menjadi keutamaan. Menjelang Kejohanan Dunia itu nanti semangat beliau perlu lebih tinggi lagi seperti prestasinya di Sukan Olimpik…kita boleh nampak perasaan tidak mahu kalah daripadanya ketika itu.
“Buat masa ini, kita perlu terima Chong Wei kalah. Saya yakin dalam latihan selepas ini, kami mampu melakukan beberapa perubahan dan saya juga telah berbincang dengannya mengenai perkara itu,’ kata Hendrawan.
Beliau juga bersetuju dengan pandangan Chong Wei, prestasi Lin Dan dalam dua kejohanan baru-baru ini sangat berbeza namun ia bukan penghalang untuk pemainnya itu kembali kompetetif. – BERNAMA