Thursday, October 24, 2024

Creating liberating content

1,000 Kakitangan Lynas Dikhuatiri...

KUALA LUMPUR - Lynas Corporation Ltd (Lynas) meminta kerajaan supaya mengkaji semula keputusan...

DBKL Audit Semula Laluan...

KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengaudit semula laluan basikal...

Gambar Disalahguna, Nora Danish...

PELAKON Nora Danish akan membuat satu laporan polis berhubung penyalahgunaan gambarnya dalam sebuah...

Basel Tunjuk Jalan Keluar...

LIVERPOOL - Jaringan gol penyamaan Steven Gerrard gagal membantu Liverpool mara ke pusingan...

CIDB Keluarkan 190,480 Sijil Pekerja Binaan Mahir

MELAKA – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengeluarkan sijil akreditasi kepada 190,480 pekerja binaan mahir termasuk pekerja asing di negara ini sejak ia dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata akreditasi berkenaan adalah diwajibkan bagi semua pekerja binaan mahir di negara ini dan kegagalan memiliki sijil berkenaan ketika bekerja akan dikenakan tindakan.

Beliau berkata di bawah Akta 520 (Pindaan 2011), kegagalan memiliki akreditasi tersebut boleh menyebabkan setiap seorang pekerja berkenaan dan kontraktor yang mengendalikan projek masing-masing didenda RM5,000.

“Pekerja kemahiran tinggi membabitkan pengendali kren, pengimpal, penyelenggara dan pemasang perancah serta kerja berkaitan struktur binaan. Akreditasi ini penting bagi memastikan golongan berkenaan patuh terhadap aspek keselamatan semasa dan selepas kerja.

“Selain itu, pentauliahan ini memberi peluang yang lebih cerah kepada golongan pekerja binaan mahir atau kontraktor untuk mendapatkan sesuatu projek dengan mudah kerana akreditasi tersebut dikeluarkan hanya kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai kepakaran yang telah diiktiraf,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutupan program penilaian kompetensi personel binaan bumiputera peringkat negeri Melaka dan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia negeri Melaka Kali ke-28 baru-baru ini yang dirasmikan Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ahmad ‘Asri berkata mereka yang memperoleh sijil akreditasi tersebut telah melepasi Ujian Penilaian Kemahiran Akreditasi CIDB sebagai pengukur tahap kemahiran masing-masing.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 3,315 tapak binaan dilawati di seluruh negara sepanjang tahun lepas dan 117 notis berhenti kerja serta 196 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk kontraktor tidak berdaftar, pekerja tiada pas personel binaan dan tiada sijil akreditasi.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 19 syarikat pembinaan atau kontraktor juga telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata kontraktor di negara ini disaran meningkatkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) selaras dengan hala tuju industri pembinaan pada masa kini yang tertumpu pada penggunaan teknologi tersebut.

Beliau berkata penggunaan IBS dalam projek yang dibangunkan bukan sahaja memberi keuntungan jangka panjang malah ia turut menyingkatkan tempoh siap projek serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.

“Teknologi ini akan digunakan secara meluas atau mungkin sepenuhnya dalam industri pembinaan negara kerana kerajaan kini dalam usaha untuk mewajibkan penggunaannya dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka perlu merangka satu polisi baharu dalam usaha untuk membantu membangunkan kontraktor bumiputera di negeri itu secara lebih mampan pada akan datang.

Beliau berkata antara strategi yang perlu diambil kira termasuk mengurangkan kebergantungan kontraktor bumiputera dalam projek kerajaan terutama komuniti sosial kerana jumlah projek berkenaan terhad pada masa sekarang berbanding projek pembangunan yang dilakukan pihak swasta.

“Kontraktor Melayu perlu mengubah minda mereka dan merebut peluang bekerjasama dengan pihak swasta untuk meningkatkan daya saing dan terus berjaya pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Kategori