KUALA LUMPUR – Syarikat penerbitan akhbar dan wartawan dinasihatkan mencipta cara baharu bagi meningkatkan pengedaran media cetak, kata Penaung Persatuan Pengedar Aliran Media Utama dan Penerbitan Kuala Lumpur dan Selangor (PAMUP) Datuk Seri Azman Ujang.
Beliau berkata jika setiap pihak memainkan peranan mereka dalam meningkatkan kandungan dan menyampaikan berita berkualiti, masa depan industri media cetak adalah cerah.
“Saya rasa ia juga bergantung kepada syarikat penerbitan akhbar dan wartawan bagi mencipta cara baharu serta mengubah skop dan kualiti kewartawanan.
“Kewartawanan mesti berubah untuk diubah kepada, katakan kewartawanan penyiasatan atau berita analisis. Jadi, gesaan ini memerlukan cabaran lebih besar dalam kalangan wartawan hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Tahunan PAMUP keempat di sini, hari ini.
Terdahulu, Azman yang juga Pengerusi Bernama, menyampaikan replika cek dalam bentuk pembayaran tuntutan insurans bernilai RM50,000 dan RM70,000 kepada ahli keluarga empat anggota persatuan berkenaan yang meninggal dunia.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden PAMUP Shaikh Naina Zainal Abidin dan timbalan presidennya S. Kumar. – BERNAMA