SELEPAS penyanyi Najwa Latif, peminat hiburan tanah air sekali lagi menemui bakat besar menerusi laman YouTube dengan kemunculan gadis bernama Shahida Supian.
Dia yang berusia 20 tahun kini mendapat perhatian selepas videonya membawakan lagu cover ‘Despacito’, nyanyian asal Daddy Yankee & Luis Fonsi ft Justin Bieber menjadi tular di laman Twitter.
Semuanya bermula selepas seorang netizen bernama Aimang memuji kebolehan rap gadis dari Selangor ini membawakan lagu Sepanyol dengan memuat naik videonya di Twitter.
Video berkenaan ternyata menarik perhatian ramai sehingganya tular dan diulang kicau lebih 26,000 oleh netizen.
Manakala, tinjauan kami di YouTube pula, video itu telah meraih lebih 180,000 tontonan dalam masa lima hari ia dimuat naik.
Untuk seseorang yang tidak dikenali, pastinya angka itu sesuatu yang cukup besar dalam tempoh masa yang sangat singkat bukan?
Lebih bangga, menerusi ruangan komen YouTube, mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) ini turut menerima pujian peminat dari pelbagai negara antaranya Brazil, Palestin, Turki dan Sepanyol sendiri.
Rata-ratanya memuji kemerduan vokal Shahida dan kehebatannya membawa lagu ini dengan dialek bahasa Latin yang cukup sempurna.
Apatah lagi, bukan mudah buat Shahida kerana dia tidak tahu menahu langsung mengenai bahasa Latin.
Shahida sebelum ini pernah membawa beberapa cover lagu antaranya Tergantung Sepi, Rebahku Tanpamu, Sabar, Warkah Untuku dan banyak lagi.
Pendek kata, memang padu habis suara dia beb! – MYNEWSHUB.CC