SHAH ALAM – Dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dipercayai bagi tujuan jenayah samun di sekitar daerah ini, ditahan di Persiaran Aman, Taman Sri Muda di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata suspek berusia 22 dan 23 tahun itu ditahan ketika mereka melalui kawasan berkenaan menaiki kereta Perodua Myvi pada 1.15 pagi.
“Hasil pemeriksaan kereta suspek, polis menemui beberapa aksesori tertera lambang dan tulisan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dua set walkie talkie dan wang tunai RM2,310.
“Kami turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama dan sebatang rotan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya siasatan terhadap dua suspek itu menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.
Mereka direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170, 395 dan 397 Kanun Keseksaan. – BERNAMA