DUBAI – Polis Dubai semalam melancarkan khidmat polis robot pertamanya yang akan digunakan untuk meronda jalan raya di sekitar bandar raya itu.
Robot setinggi 170 sentimeter dan seberat 100 kilogram itu dilengkapi dengan pengesan emosi yang boleh mengenali gerak geri serta isyarat tangan sejauh 1.5 meter.
Ia juga boleh mengesan emosi dan ekspresi muka manusia – sama ada invididu itu gembira, sedih atau tersenyum.
Apabila meronda di jalan raya, polis robot itu yang dilengkapi teknologi pintar terbaru boleh menggunakan perisian pengenalan muka.
Ia dapat membantu polis mengenal pasti dan menangkap pesalah selain menyalurkan video secara langsung ke bilik operasi polis.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pintar Polis Dubai, Brigadier Khalid Nasser Al Razouqi berkata, pelancaran robot polis yang pertama di dunia itu adalah penting bagi Dubai.
Ia menjadi langkah ke arah untuk merealisasikan wawasannya menjadi pemimpin global dalam melaksanakan bandar raya pintar. – Agensi/myMetro Online