KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menolak kemungkinan lebih banyak langkah diambil bagi mengukuhkan pasaran kewangan Malaysia, kata Gabenor Datuk Seri Muhammad Ibrahim.
Ketika ini, katanya, bank pusat itu sedang menganalisis keputusan dua langkah yang telah diperkenal BNM pada 3 Disember 2016 dan 13 Mac 2017 lalu.
“Kami akan mengkaji lagi. Biarkan ia (langkah-Langkah) dilaksana dulu. Kami akan melihat kepada keputusan langkah terbabit dan apabila tiba masanya, kami akan memperkenal langkah baharu jika diperlukan.
“Kami akan berbincang dengan penggiat pasaran mengenai beberapa perkara bagi memperkukuh dan menjadikan pasaran kewangan kita lebih cair,” katanya ketika mengumumkan pertumbuhan mantap ekonomi Malaysia sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 4.1 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, berikutan permintaan domestik dan perbelanjaan swasta yang kukuh.
Ringgit menunjukkan kestabilan dan berprestasi lebih baik berbanding dolar US pada suku baru berakhir ekoran beberapa langkah bagi membangunkan pasaran kewangan domestik.
Prestasi yang lebih baik itu dicerminkan dalam peningkatan semua petunjuk kecairan dan kemeruapan pasaran pertukaran asing di tengah-tengah sentimen dolar US yang lebih lemah, terutama didorong ketidaktentuan pasaran dalam arah dan kesan pelbagai dasar negara tersebut, kata gabenor berkenaan.
“Kami dapati trend sekarang lebih mencerminkan kekukuhan ringgit berbanding kekukuhan ekonomi.
“Ketika kita bergerak ke depan, ringgit akan terus mencerminkan kekukuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Muhammad berkata, ketidaktentuan luaran yang berterusan mungkin menyebabkan turun naik yang lebih tinggi dalam pergerakan ringgit.
Ini termasuk tahap penormalan kadar faedah AS, turun naik harga minyak global, politik luaran serta perkembangan pasaran kewangan global. – BERNAMA