SUDAH empat tahun mendirikan rumahtangga, ramai yang tertanya-tanya bilakah pasangan Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim mahu menimang cahaya mata?
Haa, dengar khabarnya doa-doa kalian mungkin sudah termakbul kerana Mawar yang juga pengasas jenama tudung Fareeda itu kini sedang dalam fasa awal kehamilan pertama.
“Cepat betul tau ye! Apa yang boleh saya katakan, selagi belum bertemu doktor, saya tidak berani nak sahkan perkara ini secara rasmi.
“Memang saya ada syak ke arah itu setelah memerhati status haid isteri kebelakangan ini, tapi itulah… saya tak boleh nak pandai-pandai selagi belum berjumpa doktor,” katanya, seperti yang dilaporkan mStar Online.
Bagaimanapun jelas bekas finalis Hero Remaja 2007/08 ini lagi, dia bercadang untuk pulang ke kampung (Kelantan) pada Khamis namun tidak dijelaskan apakah tujuannya.
“InsyaAllah dalam minggu depan kami akan follow up dengan doktor.
“Seandainya ada khabar gembira, nanti saya maklumkan. Doakan yang baik-baik,” akhirinya ringkas.
Fizo atau Wan Hafizul Wan Omar, 32, berkahwin dengan Mawar Abdul Karim, 28, pada 10 November 2013.-MYNEWSHUB.CC