KERJA gomen memang la bagus. Terjamin masa depan. Ada banyak kemudahan dan kelebihan. Graduan yang dapat kerja gomen pasti beruntung. Malumlah, baru kerja dah dapat taraf pegawai. Ada yang dapat pangkat Penolong Pengarah. Dengar nama jawatan pun dah “glamour”. Umur baru 25.
Namun, kita kena terima hakikat bahawa zaman berubah pantas. Jumlah graduan sudah terlalu banyak. Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sahaja sudah ada 21 buah. Institut Pengajian Tinggi Swasta pula melebih 400 buah dalam negara. Belum lagi graduan dari universiti luar negara. Maknanya terlalu ramai graduan yang ada dalam pasaran. Tawaran kerja gomen pula amat terhad. Persaingan semakin hebat. Siapa yang dapat kerja gomen tu, memanglah rezeki. Rezeki terpijak.
Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ini, pastilah ramai yang mengharapkan kerja dengan gomen. Sebab kerja gomen ni, tak perlu risau pasal isu kena berhenti kerja atau kontrak ditamatkan. Cukup bulan pasti dapat gaji. Sejak merdeka, gomen tak pernah bayar lewat gaji kakitangan awam. Prestasi kerja bagus atau tidak, cukup tarikhnya, pasti gaji sudah tersedia dalam akaun bank.
Tidak seperti kerja dengan pihak swasta. Kalau syarikat swasta tersebut kecil, adakalanya, hujung bulan, gaji pekerja kena potong. Ada yang dapat duit gaji lewat laa. Ada yang kena mengadap boss, kena maki dulu, baru dapat gaji. Itulah nasib pekerja swasta di syarikat yang kecil.
Memandangkan masa hadapan yang semakin mencabar, graduan perlu mengubah pemikiran agar tidak hanya bergantung kepada tawaran kerja dari gomen. Berkerjalah dengan pihak swasta. Anggaplah, permulaan alam pekerjaan sebagai satu penjelajahan hidup yang baru. Mulakan penjelajahan tersebut dengan menimba ilmu. Cari pengalaman baru, demi menguasai sesuatu tahap kemahiran yang tinggi dalam kerjaya kita. Mulalah dari bawah. Biar susah dahulu. Mula sebagai kuli tidak semestinya berakhir sebagai kuli. Berbekalkan sifat ingin belajar dan semangat kerja yang tinggi, pasti pihak atasan akan memberi pelbagai peluang untuk peningkatan kerjaya kita. Buat sasaran bagi setiap tiga tahun. Kalau tiada peningkatan, berubahlah haluan, cari kerja di syarikat yang lain.
Setelah ada pengalaman sekurangnya 3 tahun, usaha untuk mencari kerja di syarikat lain akan menjadi mudah. Maklumlah sudah ada pengalaman. Keadaan akan lebih baik sekiranya kita meningkatkan kerjaya di industri yang sama. Contohnya, kalau dulu sewaktu keluar universiti, berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, anda beroleh kerja di sebuah syarikat pembinaan rumah, setelah 3 tahun cubalah pula memohon pekerjaan di syarikat pemaju hartanah. Masih di industri yang sama, tetapi menimba pula ilmu baru di bidang pemaju hartanah.
Maknanya graduan perlu membina kerjaya di industri yang mereka minati. Bukannya takut bekerja dengan swasta. Sebaliknya belajar dan bina kemahiran di dalam sesuatu industri agar 30 tahun selepas itu anda menjadi peneraju industri berkenaan. Wawasan sebeginilah perlu ada dalam pemikiran para graduan masa kini. Kita perlu lebih ramai anak muda di masa hadapan yang mampu menguasai dan menerajui pelbagai industri dalam negara yang bertuah ini.
Seperkara lagi yang graduan mungkin terlepas pandang ialah setelah mereka berumur 45 tahun. Ketika tahap seusia itu, kebanyakan pekerja swasta sudah mendapat gaji melebihi 5 angka. Sebaliknya, pekerja gomen belum tentu dapat gaji 5 angka. Kini, sudah ada pula “trend” untuk “semi-retired” ketika usia mencecah 45 tahun. Mereka ini tidak lagi mahu bekerja sepenuh masa. Hanya bekerja sambilan, tapi masih berupaya memperolehi gaji seperti mereka yang bekerja sepenuh masa. Mereka ini sudah di gelar sebagai pakar di dalam sesuatu bidang. Kepakaran mereka menjadi rebutan ramai pihak.
Wahai graduan, tiada jalan singkat dalam membina kehidupan. Kehidupan masa hadapan dicorakkan oleh jenis pekerjaan kita. Negara kita sedang giat membangun. Kemajuan pelbagai industri adalah tonggok kemakmuran negara di masa hadapan. Oleh itu, sertailah industri yang anda minati. Ubahlah pemikiran agar tidak berharap bekerja dengan gomen.
Ayuh para graduan, ubah sikap dan cara berfikir. Jangan berharap bekerja dengan gomen. Sebaliknya bekerjalah di dalam industri yang suatu masa hari kelak, andalah peneraju industri berkenaan.
#laskarmalaya