KUALA NERUS – Kerajaan negeri mahu daging lembu dan kerbau yang disembelih di rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang menerima pengiktirafan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberikan harga yang lebih berpatutan di pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perusahaan Perladangan Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata dengan cara itu ia dapat menggalakkan pengusaha ruminan memanfat kemudahan rumah sembelihan itu yang mengeluarkan daging yang telah dijamin kebersihan dan mutunya.
“Mereka (penternak, peniaga ) terpaksa membawa ternakan ke rumah sembelih dan kemudiannya mengangkut pulang. Sedangkan mereka boleh sembelih di tempat sendiri dengan permit yang ada.
“Namun ia boleh memberi keyakinan kepada pengguna tentang sembelihan mengikut hukum syarak di samping ternakan telah disahkan bebas daripda sebarang penyakit, dan daging yang dikeluarkan diperiksa bagi memastikannya bersih dan selamat dimakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Halal Kompleks Abatoir Kuala Terengganu (KAKT) di kawasan perindustrian Gong Badak di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Mohd Termizi Ghazali.
KAKT yang diwujudkan pada tahun 1996 dan telah dinaik taraf dengan kos RM1.4 juta bagi menyediakan prasarana lengkap bagi mendapat pengiktirafan halal oleh Jakim.
Kompleks tersebut boleh menampung penyembelihan 40 ternakan sehari (55 peratus) daripada keperluan di daerah ini manakala bakinya boleh ditampung oleh empat pusat penyembelihan swasta yang telah dilesenkan.
Sementara itu Quaza Nizamuddin berkata setakat ini KAKT merupakan antara lapan pusat sembelihan kendalian jabatan itu di seluruh negara yang mendapat pengiktirafan halal oleh Jakim.
“Kita sedang merancang untuk menaik taraf tiga lagi rumah sembelihan di Terengganu dalam tempoh tiga tahun iaitu masing masing satu di Dungun, Besut dan Kemaman. Dalam masa seterusnya kita akan tingkatkan kemudahan, fasiliti untuk sampai tahap diiktiraf pihak Jakim,” katanya. – BERNAMA