KUALA LUMPUR – Harga runcit siling bahan bakar yang ditetapkan secara mingguan bermula 30 Mac lalu, dan untuk seminggu berikutnya menyaksikan kesemua jenis minyak turun lagi.
Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM jam 5 petang Rabu, harga siling produk RON 95 kini menjadi RM2.01 seliter iaitu turun 10 sen berbanding sebelumnya iaitu RM2.11 seliter.
Manakala siling harga untuk petrol jenis RON 97 dalam tempoh seminggu akan datang pula ditetapkan kepada RM2.29 seliter iaitu jatuh juga sebanyak 10 sen berbanding sebelumnya iaitu RM2.39 seliter.
Dalam pada itu, harga runcit baharu untuk minyak diesel dalam tempoh tujuh hari yang sama diumumkan menjadi RM1.95 seliter iaitu turun sebanyak 13 sen berbanding RM2.08 seliter ketika sebelumnya.
Stesen penyiaran awam tersebut melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum itu bermula dari pukul 12.01 tengah malam 11 Mei sehingga 11. 59 malam 17 Mei depan.
Mulai Mac, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati trend kadar lebih stabil berbanding harga bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.
Kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983.
Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula pada awal Disember 2014 lalu.
Namun pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan pendek. – Mynewshub.cc/HAA