BALIK PULAU – Pembinaan hospital baharu yang lebih besar serta lengkap dengan kepakaran dan peralatan di daerah Barat Daya di sini, mampu mengurangkan kesesakan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata hospital sedia ada yang hanya mempunyai 81 katil tanpa khidmat pakar, sudah tidak mampu menampung kepadatan pesakit dalam populasi lebih 310,000 orang di daerah ini.
“Jumlah populasi di daerah Barat Daya sangat besar dan memang memerlukan hospital besar dengan kemudahan sekurang-kurangnya 300 katil yang lengkap (dengan peralatan dan pakar),” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Aspirasi Kesihatan Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Politeknik Balik Pulau di sini, hari ini.
Berhubung cadangan pembinaan hospital baharu itu, beliau berkata kerajaan negeri menawarkan sebidang tanah seluas lebih 40 hektar berhampiran Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau sebagai lokasi fasiliti tersebut.
“Harga tanah belum diketahui, perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan kami berharap kerajaan negeri dapat memberi diskaun,” katanya.
Mengenai dialog TN50 hari ini, Dr Hilmi berkata pihaknya sangat berpuas hati dengan penyertaannya dan semua aspirasi yang diutarakan pelbagai pihak akan dimajukan kepada Perdana Menteri.
Sesi dialog kira-kira dua jam setengah bersama timbalan menteri kesihatan dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar itu disertai lebih 2,800 peserta termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan. – BERNAMA