SEORANG wanita mengandung berdepan detik mencemaskan apabila disamum pemandu uber yang dinaikinya dalam perjalanan pulang ke rumah dari sebuah pusat belah di ibu negara, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.26 malam itu, mangsa, Wong Mei Yan yang juga merupakan jurujual kosmetik telah diacu dengan pisau dan barang-barang berharga miliknya dirompak suspek terbabit.
Dalam laporan polis yang dibuat Mei Yan, dia pada mulanya memesan perkhidmatan Uber di pusat beli-belah Midvalley untuk menghantarnya pulang ke rumah.
Kemudian pesanan mangsa telah diterima oleh suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga dengan nombor plat PJY 9945.
Difahamkan, pemandu uber terbabit turut membawa seorang lagi rakannya yang duduk di bahagian penumpang hadapan.
Setibanya di sebuah kedai pakaian berhampiran One Puchong, lelaki yang berada di bahagian penumpang hadapan itu secara tiba-tiba mengacu pisau ke arahnya dan meminta barangan berharga daripada mangsa.
Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa telah menyerahkan kesemua barangan yang diminta dan turut merayu agar kedua-dua suspek berkenaan tidak mengapa-apakan dirinya, sebelum mangsa ditinggalekan di tepi jalan.
Mangsa kemudian meminta bantuan dari seorang pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaannya untuk bertanyakan apa yang berlaku.
“Ketika dalam perjalanan pulang, saya ternampak seorang wanita terlompat-lompat menangis sambil melambai ke arah saya dan wajahnya kelihatan risau.
“Saya ingatkan dia terlibat dalam kemalangan, lalu memberhentikan kereta dan tanya apa yang berlaku.
“Namun dia memaklumkan bahawa dia baru saja dirompak oleh pemandu Uber dan dia perlu meminjam telefon bimbit saya untuk menelefon suaminya,” tulis pengguna Facebook Eddy Ong yang berkongsikan kisah wanita malang itu.
Wanita itu kemudian dihantar ke Balai Polis Puchong bagi membuat laporan mengenai kejadian.
“Katanya dia tidak perasan di tempat duduk hadapan ada seorang lagi penumpang. Dia diacu dengan pisau dan dipaksa menyerahkan semua barangannya. Dia merayu agar tidak diapa-apakan kerana dia hamil,” katanya.
Menurut Eddy, mangsa sempat menghantar maklumat mengenai pemandu Uber berkenaan kepada suaminya sebelum masuk ke kereta suspek.
Difahamkan juga, mangsa sudah biasa menggunakan perkhidmatan Uber dan tidak pernah menyangka kejadian seperti ini akan berlaku pada dirinya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya golongan wanita dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan e-hailing berkenaan. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…