SINGAPURA – Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) merampas 2,250 karton rokok tidak dibayar duti dalam sebuah trak berdaftar di Malaysia pada Jumaat lepas di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Dalam kenyataan hari ini, ICA berkata rokok itu ditemukan disembunyikan dalam ruang yang telah diubah suai pada trak kosong itu yang dipandu bersendirian oleh seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 36 tahun.
Menurutnya, pemandu itu, rokok seludup dan trak berkenaan diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan.
Kenderaan digunakan untuk melakukan kesalahan sedemikian boleh dirampas, katanya.
Jumlah duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan rokok berkenaan masing-masing kira-kira S$174,600 (S$1=RM3.09) dan S$12,940, menurut ICA. – BERNAMA