KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) membidas pemilik Restoran KyoChon kerana cuba memburuk-burukkan jabatan itu di laman Facebook.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tindakan pengkuatkuasaan yang dilakukan Imigresen keatas premis itu pada 28 April lalu adalah disebabkan kesalahan premis itu sendiri.
“Kenyataan Facebook oleh Restoran KyoChon tidak menunjukkan situasi sebenar operasi penguatkuasaan yang dijalankan di premis mereka di pusat beli belah Pavillion Kuala Lumpur pada 28 April 2017.
“Dalam kenyataan itu pihak KyoChon cuba menyalahkan pihak berkuasa atas kesalahan mereka sendiri yang mengakibatkan pengunjung restoran mereka berhadapan dengan kesukaran.
“Perkara ini berlaku kerana ramai pekerja asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan pada operasi tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Restoran KyoChon dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada 29 April lalu yang ditujukan kepada pelanggan-pelangganya mendakwa pekerja asingnya dari Filipina, Nepal dan Myanmar termasuk pengurus yang merupakan warga tempatan ditahan Imigresen.
Restoran itu mendakwa kesemua pekerja asing dan tempatan terbabit dibawa keluar dari premis, dipaksa mencangkung dibahu jalan dan digari seperti penjenayah sedangkan mereka memiliki permit kerja yang sah.
Justeru, Restoran KyoChon meminta orang ramai mendoakan keselamatan kesemua pekerjanya yang kini ditahan pihak berkuasa.
Mustafar bagaimanapun menjelaskan, pekerja Restoran KyoChon yang ditahan dalam operasi itu melibatkan seorang warga tempatan, 12 Bangladesh, lapan Filipina, tiga Myanmar, dua Indonesia, dua Nepal dan seorang Pakistan.
Menurut beliau, warga asing terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh sah dan kesalahan dibawah peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Manakala, kata beliau, warga Malaysia yang mengaku sebagai penyelia di premis berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.
“Imigresen memperingatkan majikan supaya sedar bahawa tindakan mereka menggaji warga asing tanpa pas yang sah merupakan satu kesalahan serius. Amaran telah dikeluarkan berulang kali dalam media-media massa mahupun media sosial.
“Hasil pemeriksaan berterusan mendapati ramai pekerja asing bekerja di bahagian barisan hadapan yang jelas merupakan sektor yang tidak dibenarkan menggunakan pekerja asing, seperti juruwang, jurujual lelaki dan wanita, pelayan restoran dan sebagainya.
“Perkara ini amat mendukacitakan kerana pihak majikan berkenaan memandang remeh dan sanggup melanggar undang-undang untuk mengaut keuntungan jangka pendek semata-mata dan tindakan mereka turut menyumbang kepada kebanjiran warga asing tanpa izin (PATI),” katanya. – MYNEWSHUB.CCÂ