MELAKA – Pengguna jalan raya digalak menjadikan jalan persekutuan sebagai pilihan utama ke destinasi masing-masing kerana terdapat pelbagai kemudahan dan tempat menarik di sepanjang laluan tanpa tol itu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata masyarakat sekarang salah anggap bahawa lebuh raya yang dikendalikan oleh konsesi syarikat swasta adalah jalan utama, sebaliknya ia adalah jalan alternatif kepada pengguna yang ingin sampai ke destinasi yang dituju dengan cepat.
Justeru, katanya, Program Jelajah FT Roadpedia 2017 Zon Selatan, adalah salah usaha Kementerian Kerja Raya bagi menarik minat orang ramai mengguna kembali jalan persekutuan sebagai pilihan utama.
Katanya, jalan persekutuan merupakan pilihan tepat bagi pengguna jalan raya yang inginkan perjalanan secara santai kerana banyak kemudahan seperti kawasan rehat, gerai, kawasan riadah terdapat di sekitarnya laluan itu.
Tujuan program ini juga untuk melihat keadaan jalan persekutaan dan kerja-kerja penyelenggara jalan yang dilakukan oleh syarikat konsesi, katanya kepada pemberita ketika singgah di Masjid Batang Tiga dalam perjalanan sempena program tersebut, dekat sini, hari ini.
Program tersebut turut disertai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri idris Haron.
Program Jelajah FT Roadpedia Zon Selatan yang bermula hari ini hingga Selasa ini, melibatkan jarak keseluruhan 688km membabitkan laluan merentasi Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. – BERNAMA