PUTRAJAYA – Rakyat sudah terpelajar untuk tidak termakan dengan janji-janji umum, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, berhubung janji sayap pemuda Pakatan Harapan untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata mereka perlu menunjukkan bukti mengenai perancangan untuk merealisasikan hasrat itu jika benar Pakatan Harapan akan menunaikan janji tersebut.
“Apa sahaja janji mesti ada perancangan seperti Program Transformasi Ekonomi, projek Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR) dan sebagainya…ini semua menjana pekerjaan.
“Kalau dia kata mahu jana satu juta peluang pekerjaan, dia kena tunjuk dalam bidang apa, melalui pelaburan apa dan peruntukan mana,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2017, di sini hari ini.
Khairy berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya mengenai kenyataan seorang pemimpin muda Pakatan Harapan pada Jumaat lepas, bahawa satu juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan disediakan jika gabungan itu berjaya mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ditanya mengenai kerjasama PAS dan UMNO, Khairy berkata ia haruslah diperhalusi secara mendalam agar tidak menjejaskan hubungan UMNO dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Menurutnya jika asas kerjasama tersebut berkaitan orang Melayu dan agama Islam, kedua-dua parti itu boleh berbincang dan menerokai cadangan tersebut.
“Bagi saya yang paling penting hubungan kita dengan rakan-rakan komponen BN lain. Kita tidak mahu sebarang kerjasama dengan PAS, walaupun dianggap positif, tetapi menjejaskan hubungan dengan rakan komponen BN,” jelasnya.
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru di semua kerusi pada PRU14 susulan PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Khairy berkata Pemuda UMNO akan tetap membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan satu lawan satu.
Mengakui pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada BN, beliau bagaimanapun tidak mahu jentera parti terlalu selesa.
“Kita mesti anggap bahawa setiap kerusi pertandingan satu lawan satu. Jika akhirnya pertandingan adalah tiga penjuru, tidak menjadi masalah kerana kita telah bersedia untuk itu atau satu lawan satu,” katanya. – BERNAMA