NEW DELHI – Lima tahun dahulu, wanita ini merupakan pemilik wajah jelita sebelum serangan asid berlaku ke atas dirinya sehingga menyebabkan hampir 90 peratus mukanya berparut.
Insiden hitam pada 2012 itu berpunca apabila mangsa, Lalita Ben Basi, 26 terlibat dalam pergaduhan bersama sepupunya, yang dipercayai cemburu dengan kejelitaan wajahnya.
Lalita dikatakan terpaksa menjalani pelbagai jenis pembedahan bagi memulihkan wajahnya dan setakat ini, dia sudah menjalani sebanyak 17 pembedahan.
Sejak kejadian itu dia sudah melupakan impian setiap wanita untuk bergelar isteri kerana yakin bahawa tiada lelaki mahu mengahwininya disebabkan peristiwa hitam tersebut.
Ternyata jangkaannya meleset kerana Lalita akhirnya bertemu jodoh dengan Ravi Shankar, 27, apabila melangsungkan perkahwinan pada Khamis.
Siapa sangka hubungan mereka terjalin gara-gara tersalah dail nombor telefon sedangkan mereka berdua tinggal berjauhan dengan dipisahkan jarak lebih 1,000 kilometer.
Menurut laporan Hindustan Times, sejak daripada insiden itu, perhubungan antara mereka berdua menjadi semakin rapat dan Ravi percaya yang Lalita adalah jodoh dan takdir yang ditentukan untuknya.
Ravi yang bekerja di sebuah syarikat CCTV dan merupakan pemilik sebuah stesen minyak percaya Lalita adalah keajaiban baginya.
“Saya menyukai dia sejak dari awal perkenalan, jadi saya hanya perlu yakinkan ibu saya bahawa Lalita adalah pilihan yang tepat.
“Saya juga inginkan Lalita berasa bahagia dan dia sememangnya berhak untuk hidup seperti wanita lain,” kata Ravi.
Sementara itu Lalita pula ketika ditemui wartawan mengatakan;Â “Saya tidak sangka panggilan itu mengubah hidup saya.”
“Saya sangat gembira. Saya tidak pernah terfikir akan berkahwin. Suami saya sangat baik,” katanya.
Ravi juga berkata mereka akan tinggal di Mumbai atau Ranchi selepas berkahwin dan keputusan itu bergantung kepada pilihan isterinya. – MYNEWSHUB.CC