TINDAKAN seorang penceramah yang memberi amaran kepada lebih 3,500 kanak-kanak sekolah rendah supaya berbuat baik kepada ibu mereka bagi mengelakkan ibu masing-masing mengalami ‘sakit mental’ telah dikecam ramai.
Ini kerana kata-kata penceramah itu telah mengakibatkan kanak-kanak terbabit menangis dan meraung.
Kritikan keras itu disuarakan netizen di China selepas video berkenaan tersebar semalam dan telah menarik perhatian kira-kira 5.8 juta tontonan, kurang daripada 24 jam.
Ia juga mencetuskan perdebatan mengenai kaedah yang digunakan oleh penceramah berkenaan, Qu Yang Weijian.
“Kenapa perlu penceramah membuat kanak-kanak tersebut menangis? Ia langsung tidak sepatutnya berlaku.
“Ucapannya langsung tak masuk akal. Dia cuba basuh fikiran mereka dengan menggunakan kaedah yang sangat emosi,” kata netizen.
Bagi yang bersetuju dengan kaedah berkenaan pula menyifatkan ia sebagai cara berkesan untuk mengingatkan kanak-kanak akan keperluan berbuat baik kepada ibu bapa mereka.
Qu, yang mendakwa dirinya sebagai pakar pendidikan merupakan pengasas kepada sekolah tutorial English dikenali sebagai Crazy English.
Dia pernah mengadakan kem musim panas dengan mengenakan bayaran sebanyak RM10,000 bagi setiap pelajar. – MYNEWSHUB.CC