PELABUHAN KLANG – Kapal auksilari tentera laut Perancis, ‘Dupuy De Lome (A759)’ hari ini buat pertama kalinya berlabuh di sini, bagi tujuan ulang bekal dan berehat.
Kapal berukuran 101.75 meter panjang itu tiba di Boustead Cruise Centre kira-kira 9 pagi dari Goa, India dan dijadual melakukan lawatan operasi di sini selama enam hari hingga Jumaat ini.
Ketibaan kapal tersebut disambut pegawai kanan Pusat Hidrografi Nasional serta Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk urusan sesi perjumpaan dan taklimat keselamatan.
Berkekuatan 101 pegawai dan anggota, kapal berkenaan dilengkapi sistem ‘Signal Intelligence & Communication Intelligence’ (SIGNIT) yang mampu memintas segala sistem komunikasi luar termasuk satelit malah ia juga turut direka untuk mengumpul isyarat dan komunikasi elektronik di luar garisan musuh.
Persinggahan kapal ‘Dupuy De Lome (A759)’ yang dipimpin pegawai pemerintah, Komander Louis Tillier dilihat mampu meningkatkan lagi hubungan bilateral antara Malaysia dan Perancis.
Menurut jurucakap TLDM, bersempena lawatan operasi itu, Komander Louis Tillier turut dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional Laksamana Muda Datuk Fadzilah Mohd Salleh, pada Selasa ini.
Kunjungan hormat itu adalah bagi memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan kedua-dua negara dan selepas Malaysia, kapal itu kemudiannya akan belayar ke Singapura. – BERNAMA