KULAI – Kes kencing tikus yang dilaporkan berlaku di kawasan Gunung Pulai baru-baru ini hanya melibatkan kawasan rekreasi Hutan Lipur Gunung Pulai iaitu jauh dari lokasi tadahan air, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kualiti air di kawasan tadahan Gunung Pulai, di sini diuji setiap hari bagi mengenal pasti kandungan air itu secara berterusan.
“Walaupun kebanyakan kawasan tadahan itu bukan di kawasan rekreasi tetapi dari segi ancaman kepada masyarakat berbeza. Jadi untuk kawasan Gunung Pulai, ia perlu ada ciri-ciri keselamatan untuk orang awam menggunakan kemudahan rekreasi.
“Pusat rekreasi itu telah ditutup sementara, jadi saya kira bahawa fenomena baharu ini berbangkit dan memerlukan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) melihat semula kawasan-kawasan tadahan lain juga,” kata beliau selepas merasmikan Hari Air Sedunia peringkat Negeri di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.
Hasni berkata Jabatan Perhutanan Negeri juga memaklumkan bahawa kawasan tadahan tidak bersambung dengan kawasan yang didapati tercemar.
Sementara itu, tinjauan Bernama ke air terjun Gunung Pulai selepas penutupannya semalam mendapati tiada pengunjung dibenarkan ke kawasan rekreasi berkenaan yang dikawal Jabatan Perhutanan Negeri.
Namun tinjauan juga mendapati masih ada pihak yang berdegil untuk memanjat masuk bagi melakukan aktiviti mendaki gunung sejak awal pagi.
Pegawai Hutan Lipur Gunung Pulai, Nazib Ali berkata aktiviti rekreasi diberhentikan sementara waktu selepas notis penutupan dikeluarkan Jabatan Kesihatan selama dua minggu bermula semalam hingga 1 Jun ini.
“Kita hentikan sementara sebarang aktiviti selain terpaksa membatalkan permit beberapa pihak yang ingin membuat aktiviti di kawasan Hutan Lipur ini sehingga mendapat arahan seterusnya daripada Jabatan Kesihatan tentang pembukaan semula.
“Memang ada pihak yang tidak mengendahkan arahan, ada juga yang telah masuk ke dalam kawasan sejak seawal 5 pagi untuk melakukan aktiviti mendaki. Kita tidak boleh berbuat apa tetapi kita sudah menampal notis tentang penutupan dan mengarahkan mereka untuk pulang.
Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengambil sampel air tetapi laporan penuh siasatan lanjut yang melibatkan kematian seorang pemuda berusia 18 tahun yang didapati meninggal dunia akibat kencing tikus atau leptospirosis, masih belum diperolehi.
Mangsa meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah selepas tiga hari dimasukkan ke hospital berkenaan dan dipercayai ada mandi di Air Terjun Gunung Pulai pada bulan lepas. – BERNAMA