KUALA LUMPUR – Kecekapan kos akan kekal menjadi amalan standard bagi syarikat minyak dan gas nasional, Petronas, tanpa mengira harga minyak dunia, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Beliau berkata sejak bermulanya Pakatan Pengurangan Kos 2.0 atau CORAL 2.0 pada 2015, syarikat dapat menjimatkan kira-kira RM5 bilion.
“Kami berusaha untuk menjadikannya sebagai daripada DNA kami di Malaysia dan juga industri minyak dan gas,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Strategik CEO pada Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-19 di sini hari ini.
CORAL 2.0, kesinambungan CORAL 1.0 (yang dilaksanakan mulai 1994 hingga 2005), merupakan program seluruh industri jangka panjang, yang didorong oleh Petronas dengan sasaran untuk memupuk pemikiran yang mementingkan kos.
Ia menyokong kemampanan dalam industri minyak dan gas di negara ini dan bersedia untuk cabaran industri masa depan dengan mengoptimumkan kos, meningkatkan kecekapan dan memacu inovasi industri merangkumi semua pengendali.
CORAL 2.0 merupakan program lima tahun dari 2015 sehingga 2019.
Wan Zulkiflee berkata, syarikat tidak akan membenarkan ketidakcekapan menyerap kembali ke dalam sistem walaupun harga minyak mula pulih.
Hari ini, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan pada US$49.82 setong, naik 72 cent atau 1.47 peratus.
Beliau berkata walaupun Petronas dilihat telah berusaha lebih dalam sektor huluan, ia telah meletakkan inisiatif yang sama untuk sektor hiliran.
“Kami telah memberi tumpuan kepada huluan kerana melibatkan banyak kerjasama dengan rakan kongsi kontrak perkongsian pengeluaran kami, Kami mempunyai program untuk hiliran tetapi ia tidak boleh dihebohkan secara meluas sebagai Coral 2.0,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Petronas telah memastikan perbelanjaan modal konsisten sepanjang tahun antara RM50 bilion dan RM60 bilion setiap tahun, pada nisbah 50:50 untuk huluan dan hiliran.
Semasa diitanya mengenai rancangan penjualan pegangan pada masa hadapan, Wan Zulkiflee berkata: “Buat masa ini, terdapat beberapa aset yang dimiliki oleh Petronas. Walaupun mungkin tidak begitu besar, apabila tiba masa yang sesuai dan jika sebarang ada peluang, kami akan melakukannya,” kata beliau sambil menambah Petronas telah berjaya melupuskan asetnya di Afrika.
Beliau mengulangi bahawa dalam tempoh 20 tahun akan datang, minyak dan gas akan kekal sebagai perniagaan teras Petronas tetapi ia melihat peluang untuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui.
“Saya tidak menolak kemungkinan, setelah melakukan penilaian dan mengenal pasti peluang, kami juga akan melihatnya secara serius dan mungkin memperoleh untuk pelaburan lain-lain bentuk tenaga boleh diperbaharui,” katanya
Terdahulu, ketika Dialog Strategik CEOk, Presiden dan CEO Kumpulan Sapura Energy Bhd., Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata cabaran yang lebih besar bagi industri minyak dan gas, pada masa hadapan ialah untuk mencari lebih banyak tenaga kerja.
“Kami mendapati semakin kurang orang yang memasuki industri ini kerana bimbang tidak ada peluang dalam jangka pendek.
“Kami telah melihat sebelum ini di mana orang tidak mamasuki ke dalam industri … graduan tidak memasuki industri ini kerana mereka fikir tiada prospek dan ini adalah sesuatu yang kita, peserta industri perlu dilakukan untuk meyakinkan dan terus menarik minda terbaik dari sudut sumber manusia untuk masa depan industri, ” katanya. – BERNAMA