PETALING JAYA – Kelemahan dari aspek psikologi adalah merupakan cabaran utama buat skuad menembak kebangsaan dalam misi memburu kejayaan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang bermula dari 19 hingga 30 Ogos ini.
Jurulatih menembak kebangsaan, Mohd Sabki Mohd Din berkata kegagalan penembak negara mengawal perasaan gemuruh sewaktu bertanding adalah perkara yang paling membimbangkan menjelang temasya dwitahunan itu.
Beliau menjelaskan faktor ketiadaan sebarang tekanan sewaktu menjalani latihan mengakibatkan penembak negara tidak dapat melatih dan menguji tahap kekuatan mental mereka.
Walau bagaimanapun, beliau berharap tempoh latihan intensif selama 45 hari di Korea Selatan bermula pada 17 Mei hingga 28 Jun ini dapat diguna sepenuhnya oleh anak buahnya dalam mengatasi kelemahan tersebut.
“Selepas hari keenam Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-41 berakhir, masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi psikologi. Mereka (penembak) ketika berlatih dilihat sangat selesa tetapi gugup bila di pertandingan.
“Mereka (penembak) gagal mengawal perasaan gemuruh itu yang akhirnya menggangu mental sekali gus menjejaskan tumpuan sewaktu bertanding.
“Tetapi apa yang positifnya kita dapat mengesannya dan masih tidak terlambat untuk kita melakukan sesuatu. Jadi tempoh 45 hari berlatih bersama skuad elit menembak Korea Selatan di sana akan kita gunakan sepenuhnya untuk membantu meningkatkan tahap keyakinan diri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya majlis penyampaian hadiah kepada pemenang hari keenam kejohanan itu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Sabki yang juga merupakan bekas penembak kebangsaan tetap optimis sasaran dua pingat emas yang diletakkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dapat dicapai.
“Kita kekal dengan sasaran dua emas tetapi mungkin akan ada unsur kejutan daripada beberapa penembak yang berpotensi untuk menambahkan jumlah sasaran itu,” ujarnya. – BERNAMA