KANOWIT – Kerajaan bukan sengaja melewat-lewatkan projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kanowit dan Kapit, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya kelewatan itu berpunca daripada perubahan yang perlu dilakukan di jalan sepanjang 9.6 kilometer yang menghubungkan Nanga Ngemah di Kanowit dan Nanga Temalat di Song.
“Awalnya jalan itu dirancang melalui Skim Penempatan Semula Rascom di Ngungun tetapi jalan di situ terlalu sempit dan tidak boleh diluaskan berikutan rumah panjang dibina terlalu hampir dengan jalan,” katanya dalam sidang media selepas prapelancaran Jambatan Kanowit oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing di sini hari ini.
Menurutnya jika pembinaan jalan itu diteruskan seperti dirancang, banyak kenderaan termasuk jentera berat akan melaluinya dan ini akan membahayakan penghuni di 26 rumah panjang di situ terutamanya kanak-kanak.
Nanta berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan sengaja melambatkan projek itu untuk kepentingan politik Barisan Nasional terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau menjelaskan, pembinaan jalan Nanga Ngemah-Nanga Temalat yang dikatakan penghubung yang hilang untuk laluan Kanowit-Kapit, kini akan dibahagikan kepada dua fasa dengan kos keseluruhan sebanyak RM150 juta.
Fasa pertama adalah pembinaan jalan Nanga Ngemah-Nanga Temalat manakala fasa kedua pula membabitkan jalan pintasan sejauh 4.1km yang termasuk sebuah jambatan merentasi Sungai Ngemah.
Katanya kerja awal untuk pembinaan fasa dua telah dimulakan dan kawasan bagi tujuan itu telah dikenal pasti.
“Ketika ini dokumen tender sedang disediakan dan perbincangan dengan kontraktor yang telah dikenal pasti akan dimuktamadkan pada Jun,” kata Nanta yang berharap dokumen tender bagi jalan pintasan itu boleh dilakukan pada September tahun ini.
Nanta juga menegaskan tidak timbul penangguhan dalam projek itu kerana dana tambahan RM36 juta telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu lawatan beliau ke Skim Penempatan Semula Rascom di Ngungun pada 27 Mac tahun lepas.
Nanta juga meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tuduhan tidak berasas dan bersabar kerana projek itu tidak dibina secara terburu-buru, sebaliknya dilakukan dengan baik demi kepentingan masyarat di situ.
Mengenai Jambatan Kanowit dengan kos RM52 juta yang akan dibuka kepada orang ramai pada 27 Mei iaitu beberapa hari sebelum Hari Gawai, Nanta berkata ia mampu meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk di Majau, Poi dan Ngungun. – BERNAMA