NILAI – Punca kematian seorang pelajar tingkatan tiga akibat minum racun bukanlah disebabkan dibuli seperti yang didakwa sebelum ini, sebaliknya atas kerelaan hati gara-gara putus cinta.
Perkara ini disahkan olehĀ Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin.
Menurutnya, persoalan mengenai kes ini terjawab apabila rakan baik remaja berkenaan hadir ke Balai Polis Nilai kira-kira pukul 8.30 malam, semalam menceritakan kisah yang sebenar.
Menurutnya, rakannya itu ada memaklumkan niatnya yang ingin minum racun kerana kecewa putus cinta.
“Dia mendakwa berjumpa rakannya itu di belakang sebuah pasar raya di pekan Nilai, jam 2 petang, 26 April lalu. Rakannya membawa botol berisi cecair biru dipercayai racun.
“Rakannya memberitahu mahu minum racun kerana putus cinta. Dia cuba menghalang tetapi rakannya masuk ke kawasan kebun berhampiran dipercayai untuk minum racun.
“Ini menyebabkan dia ketakutan lalu melarikan diri meninggalkan rakannya itu,” katanya seperti yang dipetik di Harian Metro pada sidang media di Balai Polis Nilai.
Tambahnya, keterangan rakannya itu sekali gus melengkapkan siasatan berhubung kes kematian pelajar berkenaan.
Bagaimanapun, siasatan masih lagi diteruskan dan ibu bapa pelajar berkenaan turut akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Terdahulu, pelajar berkenaan,Ā S Pavin, dilaporkan meninggal dunia Selasa lalu, diĀ Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas ada dakwaan menyatakan dia dipercayai dibuli.
Mangsa dikatakan kemudian dipaksa minum racun oleh sekumpulan pelajar gara-gara menegur merekaĀ sedang menghidu gam di Pekan Nilai pada 26 April lalu.
Namun, laporan bedah siasat mendapati tiada bukti atau kesan kecederaan membuktikan dia diperlakukan sedemikian. – MYNEWSHUB.CC