KUALA KANGSAR – Asas keyakinan diri merupakan komponen terpenting dalam memastikan seseorang individu itu berjaya mengharungi kehidupan dalam era Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang bersifat global.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata aas keyakinan diri itu perlu dipupuk dari sekarang kerana TN50 bukan lagi cabaran berkaitan Malaysia sahaja tetapi dunia.
“TN50 juga adalah mengenai bagaimana anda semua nak berhadapan dengan keadaan yang terbentang luas pada waktu itu,” katanya dalam ucapan pada Forum Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, malam tadi.
Selain itu, Zambry berkata para belia merupakan tunjang utama yang menjadi penggerak dalam menentukan sebarang keputusan berkaitan hala tuju negara di era TN50.
Katanya pada ketika itu cabaran yang dihadapi berkemungkinan terarah kepada perubahan atau pengekalan sistem sedia ada meliputi pelbagai bidang.
“Di waktu itulah anda semua kena bertanya pada diri sendiri apakah masih lagi perlu bergantung kepada sistem sedia ada ataupun perlu berlakunya perubahan.
“Perkara ini tidak boleh dipandang mudah dan saya fikir kita semua terutama para belia perlu berfikir dari sekarang walaupun TN50 ini mengambil masa selama 33 tahun lagi untuk dilaksanakan,” katanya.
Zambry berkata kewujudan Pusat Kerjaya Aman Jaya (PEKA) dan Pusat Seni Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) yang berfungsi selaku pembimbing turut membuktikan bahawa kerajaan negeri peka dengan kepentingan suara anak muda.
Katanya kedua-dua komponen itu akan menjadi nadi penting dalam membantu kerajaan menjayakan TN50 dengan memberi ruang serta bimbingan kepada anak muda. – BERNAMA