MELAKA – Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 79 pertuduhan menyalah guna peruntukan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang di sini berjumlah RM50,238.10, tahun lepas.
Musa Md Dawi, 26, didakwa atas 74 pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun PULPAK dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM46,281.10 itu dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan PULPAK dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM3,067.60 itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Anuar Bolhassan.
Musa juga didakwa atas dua lagi pertuduhan menyalahgunakan peruntukan pembayaran elaun perjalanan dan tuntutan cuti tahun PULPAK dengan mencipta baucar pembayaran seterusnya bayaran berjumlah RM889.40 itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Mohd Ramdan Mohd Sani.
Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Belanjawan, PULPAK antara 25 April hingga 1 Julai tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan bagi semua pertuduhan itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu dalam proses pendakwaan itu, dua jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira sejam untuk membacakan semua pertuduhan itu terhadap Musa.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ong Cheng Hian menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana menanggung isteri serta ibu bapanya dan juga perlu mendapatkan rawatan akibat kemalangan.
Hakim Norma Ismail kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan diarah melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan, serta menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA