SANDAKAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 66,000 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi yang hendak dieksport dalam serbuan di sebuah stor berlesen di Jalan Labuk Lama di sini, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Unit Naziran dan Tugas-Tugas Khas KPDNKK Putrajaya Abdul Halim Pakri yang mengetuai operasi pada kira-kira 9.30 malam itu berkata premis tersebut terlibat dalam sindiket membungkus dan mengeksport minyak subsidi ke negara jiran.
“Hasil risikan selama dua minggu mendapati lori tangki milik seorang pembungkus minyak masak bersubsidi berlesen sering keluar masuk menghantar bekalan ke premis itu.
“Ketika serbuan dilakukan, terdapat sebuah mesin membungkus berserta perkakasannya dan juga sejumlah minyak masak yang melebihi had telah siap dibungkus sedia untuk dieksport,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya minyak masak bersubsidi yang dirampas terdiri 3,313 tong dengan setiapnya mengandungi 20 liter dan 5,899 pek 1 kg dengan jumlah berat keseluruhan 66,000 kg membabitkan nilai RM240,000 manakala nilai subsidinya RM100,000.
Aktiviti ini dipercayai telah berlaku untuk satu tempoh yang lama menyebabkan kerajaan menanggung kerugian jutaan ringgit dan kegagalan barangan bersubsidi sampai ke golongan sasar, katanya.
Abdul Halim berkata pihaknya telah mengenal pasti pembekal minyak bersubsidi terlibat dan akan diambil tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan lesen dan kuota.
Beliau berkata pihaknya memandang serius terhadap sebarang penyelewengan minyak masak bersubsidi dan akan terus mengesan dan mengempur sindiket terlibat menerusi Ops Goreng II yang sedang dijalankan di seluruh negara. – BERNAMA