IPOH – Kira-kira 200 peserta terdiri daripada kalangan anggota UMNO Bahagian Ipoh Barat menyertai Larian Bendera sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71 yang bermula dari Parit Buntar pada Sabtu sebelum singgah di Sungai Siput semalam dan singgah di sini hari ini.
Larian Bendera yang dimeriahkan dengan iringan konvoi 50 peserta bermotosikal itu diketuai Ketua Bahagian UMNO Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar.
Shamsuddin berkata larian tersebut secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada anggota parti khususnya golongan belia untuk terus berjuang sekali gus mengukuhkan UMNO.
Katanya penglibatan ramai anak muda dalam larian itu turut membuktikan bahawa golongan tersebut masih menaruh kepercayaan tinggi kepada UMNO bagi memenuhi aspirasi mereka.
“Kami juga yakin dengan komitmen anggota UMNO akan terus mencatatkan keputusan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bendera larian kepada Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman di perkarangan Bangunan UMNO Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai larian seterusnya, Shamsuddin berkata UMNO Bahagian Ipoh Timur yang diketuai Azian akan bergerak ke Gopeng sebelum berhenti di Tapah malam ini.
Terdahulu, larian berkenaan bermula di Sungai Siput diketuai Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Dzolkafly Harun yang menyerahkan bendera itu kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin, di Khantan, Chemor kira-kira 9.30 pagi tadi.
Esok, larian akan bermula dari Kampar Refarm, Tapah sebelum ke Tanjung Malim dan seterusnya bendera diserahkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor. – BERNAMA