JOHOR BAHRU – Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sempena temasya Sukan SEA ke-29 dan Para Asean ke-9 hari ini memulakan jelajah di Johor.
Larian bermula di Dataran Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat dan berakhir di Universiti Teknologi Malaysia yang menyaksikan penyertaan kira-kira 300 peserta dan melibatkan laluan sejauh 15 kilometer
Acara pelepasan larian disempurnakan oleh Setiausaha Ahli Parlimen Pulai, Datuk Abd Rashid Kasman selaku wakil rasmi Datuk Nur Jazlan Mohamed pada pukul 9 pagi.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Johor, Abdul Ghani Abdul Rahman.
“Peserta dijangka tiba di UTM jam 12 tengah hari dan obor akan diterima oleh Setiausaha Menteri Besar sebelum diserahkan kepada wakil Kulai,” kata Abdul Ghani kepada media.
Selain Johor Bahru dan Kulai, obor turut dibawa mengelilingi Batu Pahat, Muar dan Tangkak yang melibatkan keseluruhan laluan melebihi 200 kilometer serta 347 pembawa obor.
Seorang pemegangnya merupakan Penolong Pengurus Pemasaran Sukan Telekom Malaysia Bhd, Zarina Md Ismail.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyempurnakan Majlis dan Pelancaran Gimik Larian Obor KL di Muzium Tokoh di sini sebagai tanda permulaan larian Obor KL2017.
Larian obor dijangka berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, menandakan bermulanya temasya Sukan Sea Kuala Lumpur ke-29. – BERNAMA