PETALING JAYA – Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berjanji untuk terus berusaha meningkatkan prestasinya, selepas syarikat minuman isotonik 100Plus menyambung tajaan selama dua tahun lagi, hari ini.
Pada majlis menandatangani perjanjian untuk kekal sebagai duta jenama minuman isotonik itu sehingga 2019, Chong Wei berkata sokongan berterusan daripada syarikat berkenaan memberikannya semangat untuk berjuang dengan baik di Piala Sudirman bermula Ahad ini dan Kejohanan Badminton Dunia pada Ogos.
“Saya sangat berterima kasih kepada 100Plus yang memberikan sokongan kepada saya untuk satu tempoh masa begitu panjang dan sentiasa bersama saya ketika saya menang, kalah dan juga ketika saya menerima hukuman penggantungan selama lapan bulan kerana isu doping. Ia merupakan tempoh yang begitu sukar bagi saya tetapi 100Plus tetap bersama saya.
“Saya sebagai duta jenama perlu bekerja keras, berlatih dengan bersungguh-sungguh dan buat yang terbaik pada semua kejohanan yang saya sertai. Untuk Piala Sudirman, kami akan cuba buat yang terbaik walaupun pasukan kali ini tidak lengkap tanpa adanya Goh Liu Ying yang cedera,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini, hari ini.
Pemain berusia 34 tahun itu dilantik sebagai duta jenama 100Plus buat kali pertama pada tahun 2009, yang kini memasuki tahun kelapan.
Chong Wei, bersama-sama dengan duta 100Plus lain iaitu pasangan beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong, pemain beregu campuran Chan Peng Soon dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei akan berlepas ke Gold Coast, Australia pada Rabu ini untuk saingan Piala Sudirman yang berlangsung dari 21-28 Mei, manakala Liu Ying pula sedang menjalani rawatan di Jerman untuk kecederaan bahu dan lutut kakinya.
Pemain skuad negara untuk mengharungi cabaran badminton berpasukan campuran dunia itu ialah pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin; Teo Ee Yi/Ong Yew Sin (beregu lelaki); Chan Peng Soon/Cheah Yee See dan Tan Kia Meng/Lai Pei Jing (beregu campuran); Sonia Cheah (perseorangan wanita); serta Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan/ Lee Meng Yean (beregu wanita).
Walaupun pencapaian terbaik skuad negara pada Piala Sudirman ialah layak ke pusingan separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China, Chong Wei yakin bahawa skuad kali ini yang dibarisi oleh pemain berpengalaman dan junior, mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan-pasukan lain.
“Kita ada V Shem, Wee Kiong dan Peng Soon yang mempunyai pengalaman dalam kejohanan itu dan juga pemain junior yang boleh berganding dengan pemain senior. Kita telah membuat persiapan yang rapi dan akan cuba sampai ke tahap yang lebih baik kali ini tanpa mengira siapa lawan kita,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama dengan Jepun dan Jerman. – BERNAMA