LABUAN – Seorang petugas di syarikat minyak dan gas dijumpai lemas ketika melakukan aktiviti menyuluh ketam berhampiran pantai Kampung Batu Manikar dekat sini.
Kejadian berlaku ketika Zainudin Suhaili, 31, pergi ke pantai yang berdekatan rumahnya itu seorang diri pada kira-kira 8 malam tadi untuk menyuluh ketam.
Apabila dia tidak pulang ke rumah, anggota keluarganya membuat laporan di Balai Polis Lubok Temiang pada 2.18 pagi ini selepas mereka menghubung Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Anggota dari Balai Bomba Layangan segera bergegas ke lokasi dan selepas lebih tiga jam operasi, mereka menjumpai mayat mangsa pada 5.16 pagi kira-kira 150 meter dari pantai.
Mayatnya dihantar ke Hospital Labuan untuk dibedah siasat.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin mengesahkan kejadian itu. – BERNAMA