PASTINYA peminat motosikal di negara ini tentu berasa amat teruja dengan taruhan terbaharu Mforce Bike Sdn. Bhd. yang melancarkan secara rasminya Benelli Leoncino 500 di negara ini.
Jenama Benelli sendiri kini dilihat semakin gah dan dengan kehadiran model Leoncino 500 ini, pastinya akan memikat ramai peminat jentera pemotoran berkuasa besar di seluruh Malaysia.
Dikuasakan enjin 500cc dwi silinder empat lejang lapan injap, ditambah suntikan bahan api kawalan elektronik dan sejukan cecair, jentera ini mampu menghasilkan kuasa kuda maksimum 47 kuasa kuda pada 8500 rpm.
Leoncino 500 ini turut didatangkan dengan sistem klac jenis hidraulik dengan kotak gear 6 kelajuan dan dimantapkan lagi dengan casis jenis terellis.
Sistem brek turut dilengkapi dengan sistem ABS yang mengawal kaliper brek serta cengkam cakera bersaiz 320mm pada roda hadapan dan 260mm satu angkup pada roda belakang.
Lengkap dengan lampu utama dari jenis projektor dengan teknologi LED, Leoncino 500 turut mengenengahkan paparan meter digital yang moden, tetapi masih lagi mengutamakan gaya asal motosikal klasik.
Namun begitu, walaupun masih mengekalkan gaya klasik, Leoncino 500 tetap menjanjikan gaya tunggangan yang sporty dan mengujakan. Malah rekaan tangki petrol serta tempat duduk cukup menarik bagi keselesaan.
Ia bakal menjadi sebuah model yang mudah didapati dengan harga yang kompetitif serta akan diumumkan nanti apabila ia akan mula ditawarkan oleh Benelli Malaysia pada separuh kedua tahun 2017.
Untuk maklumat lanjut mengenai Benelli Malaysia, sila layari laman sesawang rasmi www.benelli.my atau laman Facebook Benelli Malaysia. – MYNEWSHUB.CC