KUALA TERENGGANU – Terkejut dikenakan harga makanan yang mahal, seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hatinya di laman Facebook terhadap sebuah gerai makanan di Kampung Geliga Baru, Chukai, di sini.
Pemilik akaun Facebook Syed Ikram berkongsikan gambar sepinggan nasi dengan lauk dua potongan sotong, seekor udang galah dan sayur kangkung yang didakwa berharga RM32.
“Macam ni je RM32, belom lagi air, terkejut masa nak bayar. Gerai biasa je kot. Kaya la tauke kedai boleh pergi haji balik hari,” tulisnya pada Ahad lalu.
Malah, turut dikongsinya perbualan bersama pemilik gerai itu yang dikenali sebagai Liza Musid menyatakan harga yang dicaj ke atas sepinggan nasi tersebut adalah munasabah.
Lantas, netizen memberi pelbagai reaksi termasuk mengecam pemilik kedai makan berkenaan yang disifatkan terlalu melampau akibat mengenakan harga makanan tidak masuk akal.
Menyedari isu yang dibangkit lelaki itu menjadi semakin viral, pemilik gerai makanan terbabit bertindak menegur pelanggannya itu dengan menjelaskan harga bagi setiap satu lauk yang diambil.
“Salam bro, harga udang RM15 seekor, sotong RM7 seketul. Awak ambil dua ketul. Sayur seringgit. Nasi penuh RM2. Harga kan sudah ada dekat senarai tu. Kenapa tak tengok dulu?” soalnya.
Namun pelanggan itu tetap menyatakan bahawa dia tidak menyangka gerai sebiasa itu tergamak menggenakan caj makanan dengan harga yang agak tinggi.
Pun begitu, pemilik gerai tersebut merasakan tindakan pelanggannya itu sudah pun merosakkan nama gerainya. Lantas meminta lelaki itu untuk mengira sendiri bayaran yang perlu dibayar berdasarkan kos asal barangan basah yang dibeli di pasar.
Bagaimanapun, lelaki itu membalas yang dia juga tahu selok belok harga barangan mentah di pasar kerana dia seorang bapa tunggal dan sering turun ke pasar untuk membeli barangan basah.
Tambahnya, inilah pertama kali dalam sejarah hidupnya memakan makanan di gerai tepi jalan semahal ini.
Tidak mahu memanjangkan cerita, pekedai tersebut terus menyatakan ingin mengembalikan semula wang yang dibayar oleh lelaki itu namun lelaki itu tetap tidak mahu menerimanya.
“Tidak perlu kembalikan duit saya, saya bayar pun apa yang telah awak berikan harga pada saya. Cuma saya harap berniagalah dengan ikhlas, supaya kita bertahan dalam perniagaan,” balasnya.
Rata-rata pengguna Facebook bersetuju dengan apa yang ditularkan Syed Ikram dan berpendapat pekedai tersebut tidak patut meletakkan harga yang sedemikian kepada pelanggan. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…