KENINGAU – Mayat seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Pegalan di sini Sabtu lepas, ditemukan di sungai berkenaan berhampiran Jambatan Binai, Tenom, kira-kira 42km dari sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, mayat Daibet Juan, 48, dari Kampung Dangulad, Keningau, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 10.05 pagi dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi Sabtu lepas, mangsa bersama dua lagi sedang menyeberangi sungai itu selepas selesai memetik rebung.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Liawan, Datuk Sairin Karno mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta mereka supaya bersabar menghadapi dugaan tersebut. – BERNAMA